ALMY Nadia selamat bersalin anak perempuan keempat.

Tahniah diucapkan buat pasangan pelakon Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia yang baru saja menimang cahaya mata keempat.

Khabar gembira itu dikongsikan oleh Fizz Fairuz apabila isteri kesayangan selamat melahirkan anak perempuan keempat mereka pada 8 Disember jam 3.49 pagi.

Pemilik nama sebenar Fairuz Zainal Abidin, 40 turut menyatakan bayi seberat 2.76 kilogram itu dilahirkan secara normal di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, isteri saya selamat bersalin pada pukul 3.49 pagi.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Amin. 4-0 keputusan sekarang,” luah Fizz.

Pasangan bahagia yang mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 sebelum ini telah dikurniakan tiga cahaya perempuan iaitu, Nur Afrina Arianna, 6, Nur Afrina Aurora, 5, dan Nur Afrina Ayra, 3, serta seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 12.

Sebelum ini Almy juga pernah mengalami keguguran ketika usia kandungan 14 minggu pada Februari tahun lalu.

Selepas suaminya berkongsi khabar gembira tersebut, Almy juga memberitahu anak keempatnya ini dilahirkan seminggu lebih awal daripada jangkaan.

“Assalamualaikum selamat petang semua.

“Yang pertama kami nak beritahu syukur alhamdulillah kami dah pun bersalin anak keempat pagi tadi.

“Baby keluar seminggu awal dari due date dia.

“Sepatutnya 38 minggu baru keluar tapi baby nak keluar pada 37 minggu. Gender hampa tau dah kot kan,” luah Almy.

Malah Almy juga berterima kasih kepada suami tercinta yang menemaninya dari awal proses bersalin.

“Yang kedua kami nak ucapkan ribuan terima kasih pd suami tercinta @fizzfairuzofficial sentiasa ada dengan kami sampai la settle semuanya.

“Yang ketiga, kami nak ucapkan ribuan terima kasih pada family kami di Penang, family mentua kami, kawan-kawan sahabat handai atas doa yang baik-baik kalian semua.

“Insya-Allah saya balikkan doa itu pada anda semua agar yang baik-baik berbalik pada semua.

“Yang keempat terima kasih kepada fans, dalam media sosial, pada wartawan yang turut doakan kami, turut keluarkan artikel yang baik-baik untuk kami, kami nak ucapkan terima kasih banyak-banyak, hanya Allah dapat membalas segala jasa baik anda semua,” tulis Almy Nadia.